Ernie Zakri Rilis Perjalanan Bersama Andi Rianto

KBRN, Jakarta: Penyanyi bervokal hebat Ernie Zakri kembali mempersembahkan karya terbaharu berjudul “Perjalanan”, sebuah kolaborasi istimewa bersama komposer dan produser ternama Indonesia, Andi Rianto. Lagu ini menandai pertemuan dua kekuatan seni, dengan lirik ditulis sepenuhnya oleh Ernie Zakri serta komposisi dan produksi muzik digarap oleh Andi Rianto.

“Perjalanan” mengangkat kisah hidup, pengalaman, serta cabaran yang dilalui kedua-dua artis sepanjang berada dalam industri seni. Dengan melodi yang penuh penghayatan dan lirik yang jujur, lagu ini hadir sebagai refleksi perjalanan setiap insan, sarat makna dan emosi.

Menurut Ernie, idea lagu ini tercetus pada sesi awal kolaborasi mereka. “Idea lagu ni muncul bila Andi minta saya tulis lirik sendiri tentang apa yang saya rasa. Dari situ kami sedar masing-masing mempunyai perjalanan hidup yang penuh cerita,” jelasnya.

Bagi Andi Rianto, inspirasi utama komposisi “Perjalanan” datang daripada sosok Ernie sendiri. “Ernie sudah melalui banyak suka duka dalam industri. Saya rasa inilah masa yang tepat untuk dia menyanyikan lagu seperti ini,” katanya. Proses penciptaan lagu ini berlangsung secara spontan dan organik, bermula daripada sesi workshop yang mengalir secara natural.

Ernie turut mengakui proses kolaborasi bersama Andi Rianto jauh lebih mudah daripada jangkaannya. Andi memberi kebebasan kreatif sepenuhnya, membolehkan Ernie menulis kisah peribadi yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam melodi. Walaupun sentuhan muzik Andi Rianto begitu kuat, identiti dan karakter Ernie Zakri tetap menjadi tunjang utama lagu ini.

Melalui “Perjalanan”, Ernie berharap pendengar dapat merasa difahami dan terinspirasi. Lagu ini mengingatkan bahawa setiap individu mempunyai perjalanan hidup tersendiri, dengan harapan dan sinar di hujung jalan. Andi Rianto pula menegaskan kekuatan utama lagu ini terletak pada vokal dan emosi Ernie yang begitu tulus.


Rekomendasi Berita